Thursday, 11 October 2012

Teori Pembelajaran Kognitif


Teori perkembangan kognitif ialah suatu proses pembelajaran yang berlaku dalam akal fikiran, dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku. Ahli psikologi kognitif seperti Bruner dan Piaget menumpukan kajian kepada pelbagai jenis pembelajaran dalam proses penyelesaian masalah dan celik akal mengikut pelbagai peringkat umur dan kebolehan murid. Teori-teori pembelajaran mereka adalah bertumpu kepada cara pembelajaran seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan dan pengkategorian. Menurut teori ini, manusia memiliki struktur kognitif, dan semasa proses pembelajaran, otak akan menyusun segala maklumat di dalam ingatan.

Teori pembelajaran kognitif merupakan satu teori yang sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid. Teori pembelajaran kognitif menekankan proses kognitif bagi menghasilkan perubahan tingkah laku dalam pembelajaran. Selain itu, ia juga satu cara pembelajaran yang menggunakan pengalaman sedia ada untuk memikirkan cara penyelesaian masalah yang dihadapi. Teori pembelajaran kognitif ini sangat menitikberatkan bahawa pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada pada murid-murid untuk proses pembelajaran.


Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget

Jean Piaget ialah ahli psikologi dan pendidik. Beliau telah dilahirkan di Neuchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896 dan telah meninggal dunia pada tahun 1980. Piaget berminat dalam bidang biologi. Sepanjang hidupnya beliau suka membaca subjek falsafah, sosiologi dan teologi. Akhirnya beliau telah memilih bidang psikologi, khususnya mengkaji tingkah laku kanak-kanak.

Jean Piaget mendapati kemampuan mental manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui. Menurut beliau lagi, perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan. Tanpa pengalaman-pengalaman tersebut, kanak-kanak dianggap tidak mampu mencapai tahap perkembangan kognitif yang tinggi.

Menurut Piaget lagi, proses pemikiran kita berubah secara menyeluruh bermula selepas lahir sehingga kita mencapai kematangan. Setiap individu akan sentiasa mencuba untuk memahami dan mengadaptasi perubahan-perubahan yang berlaku di persekitaran mereka. Piaget mengenalpasti empat faktor yang saling berkait yang boleh mempengaruhi proses pemikiran individu iaitu :
  • Kematangan biologi - Proses pemikiran yang dipengaruhi oleh faktor baka/genetik.
  • interaksi individu dengan persekitaran - Individu berinteraksi dengan persekitaran untuk memahami perkara-perkara yang berlaku. Mereka akan meneroka, menguji, memerhati dan menyusun maklumat yang didapati.
  • Pengalaman sosial - Perkembangan kognitif juga dipengaruhi oleh pergaulan individu dengan orang-orang di persekitaran : ibu bapa, adik beradik, rakan, guru dan sebagainya.
  • Keseimbangan - Proses keseimbangan adalah merupakan salah satu cara yang digunakan oleh individu untuk mengadaptasi dengan situasi-situasi yang baru dialami.
Oleh yang demikian, beliau telah membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap yang mengikut turutan umur. Tahap-tahap perkembangan tersebut ialah :
  • Tahap Sensorimotor (dari lahir hingga 2 tahun)
  • Tahap Praoperasi ( 2 hingga 7 tahun)
  • Tahap Operasi Konkrit (7 hingga 11 tahun)
  • Tahap Operasi Formal (11 tahun hingga dewasa)

Implikasi

Oleh kerana Piaget menyarankan bahawa kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan melakukan aktiviti secara hands-on, penyediaan persekitaran yang menarik dan merangsang pembelajaran adalah penting. Persekitaran yang kondusif adalah penting untuk membolehkan kanak-kanak mencipta pengetahuan secara tidak langsung. Untuk tujuan ini, penggunaan makmal, bengkel dan teknologi yang interaktif sangat berguna bagi menggalakkan perkembangan kreatif kanak-kanak. Sebaliknya, penghafalan maklumat dan pembelajaran bahasa secara latih-tubi ditolak sama sekali oleh Piaget.

Jelasnya, ramai pakar pendidikan psikologi menganggap teori perkembangan Piaget sebagai hampir sempurna kepada sistem perkembangan kognitif manusia. Banyak pandangannya yang bersangkut paut dengan pemprosesan maklumat di dalam otak manusia. Melalui model pemprosesan maklumat Piaget menjelaskan bahawa penerimaan maklumat bergantung pada pemprosesan dan penterjemahan data sensori dan menukar data itu ke dalam bentuk yang boleh disimpan dan diguna semula apabila diperlukan. Dengan mempelajari bagaimana otak manusia memproses maklumat, kita dapat melihat dan mengkaji bagaimana manusia mampu berfikir, berpersepsi, menterjemah dan mempercayai. Jean Piaget memandang kecerdikan itu sebagai dasar kepada proses yang aktif di mana manusia dapat memperoleh maklumat melalui interaksi dengan pelbagai objek, idea dan pergaulan dengan orang lain di persekitarannya.

Daripada teori ini juga, guru perlu sedar bahawa pada peringkat awal, kanak-kanak seperti di kelas tadika perlu didedahkan kepada bahan-bahan pelajaran yang terdiri daripada objek-objek besar iaitu yang senang dilihat dan disentuh. Manakal pada peringkat Tahun Dua dan Tiga, kanak-kanak bersifat egosentrik. Oleh itu, tajuk-tajuk seperti Rumah Saya, Keluarga Saya adalah sesuai disediakan sebagai bahan bacaan dan tulisan. Pelbagai jenis alat bantu mengajar diperlukan untuk mengajar kanak-kanak di peringkat sekolah rendah disebabkan perkembangan kognitif yang terhad.

Murid-murid di peringkat sekolah rendah juga masih belum bersedia menyelesaikan masalah abstrak atau dalam bentuk hipotesis. Oleh itu, banyak contoh konkrit dan analogi diperlukan untuk memudahkan pemahaman murid-murid sekolah rendah. Isi pelajaran dan aktiviti pelajaran yang disediakan perlu selaras dengan peringkat perkembangan kognitif murid-murid. Sekiranya tidak, bahan atau aktiviti pelajaran tersebut mungkin akan membosankan murid-murid atau terlalu sukar bagi mereka.

Setiap tajuk pelajaran perlu disusun dan diperingkatkan. Ini membolehkan penyampaian tajuk pelajaran daripada peringkat yang senang kepada peringkat yang susah. Cara seperti ini akan menjamin murid-murid memperolehi hasil pembelajaran yang maksimum.


Teori Perkembangan Kognitif Lev Vygotsky

Lev S. Vygotsky ialah seorang pakar psikologi Russia yang meninggalkan andaian yang jelas tentang perkembangan bahasa. Idea utama Lev Vygotsky ialah kemahiran perkembangan kognitif berlaku di dalam konteks sosiobudaya dan berkembang di dalam interaksi sosial kanak-kanak.

Lev S. Vygotsky ialah pengkritik terawal kepada andaian-andaian yang diketengahkan oleh Piaget. Vygotsky memberi pandangan tentang perkembangan kognitif kanak-kanak yang cukup berlainan dengan pendapat Jean Piaget. Vygotsky menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak tidak mengikut tahap-tahap perkembangan. Sebaliknya, Vygotsky menegaskan bahawa setiap fungsi dalam perkembangan budaya kanak-kanak muncul dalam dua aras iaitu pada aras sosial dan pada aras individu.

Teori budaya-sosial menyatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui interaksi sosial dan budaya. Budaya dan masyarakat memainkan peranan sangat penting di dalam teori Vygotsky. Menurutnya, pengalaman sosial dan budaya mempengaruhi cara berfikir, dan perkara yang difikirkan. Kanak-kanak berinteraksi menggunakan bahasa atau dialog dengan ahli-ahli yang lain dalam masyarakatnya untuk belajar tentang nilai budaya. Kanak-kanak mengembangkan bahasa mereka melalui interaksi dengan ibu bapa serta rakan-rakan di dalam budaya mereka.

Beberapa ciri penting teori ini dijelaskan seperti berikut:
  • Tahap pembelajaran atau kematangan mental seseorang kanak-kanak boleh ditingkatkan melalui scaffolding. Scaffolding merupakan pertolongan atau bimbingan yang diberi oleh orang yang lebih berpengalaman untuk meningkatkan tahap pembelajaran atau pemikiran kanak-kanak.
  • Vygotsky percaya semua orang mempunyai Zone Of Proximal Development (ZPD) iaitu potensi kognitif pada tahap yang lebih tinggi. Potensi ini hanya mampu dicapai melalui proses scaffolding.
  • Bahasa merupakan alat untuk berfikir dan alat yang digunakan oleh orang dewasa untuk memindahkan pengetahuan kepada kanak-kanak.
  • Alat-alat yang digunakan dalam sesuatu budaya atau cultural tools (seperti bahasa, media, televisyen atau komputer) adalah sangat penting untuk meningkatkan komunikasi, pembelajaran dan pemprosesan pemikiran ke tahap yang lebih tinggi.


Implikasi

Dari segi pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru yang mengamalkan prinsip-prinsip teori Vygotsky akan mendapati proses pembelajaran yang sangat aktif. Guru akan menggunakan teknik scaffolding dengan membimbing dan memberi tindak balas tentang pembelajaran isi kandungan baru. Guru juga akan menyediakan alat-alat pembelajaran yang bersesuaian dan mencukupi untuk mencapai objektif pengajaran yang efektif.


Vygotsky mengutarakan cadangan supaya perkembangan kanak-kanak didasarkan kepada keupayaan mereka menggunakan perantaraan bahasa, sistem nombor dan peta bagi perkembangan kognitif. Keupayaan mereka pula bergantung kepada pendedahan mereka kepada pembantu dan persekitaran orang dewasa yang kebiasaannya terdiri daripada guru-guru dan pengasuh. Ini sangat bermakna terhadap perkembangan kreativiti, kognitif, sosial dan kemahiran mengawal perasaan. Mengikut Vygotsky, guru perlulah menggalakkan murid yang lebih pandai untuk memberi bimbingan kepada rakan-rakan yang kurang pandai. Pencapaian murid juga harus dinilai berdasarkan prestasi murid dalam ZPD.


Di samping itu, implikasi bagi teori ini juga ialah guru haruslahmenyediakan lebih banyak contoh dan bahan sumber yang boleh digunakan untuk membantu murid membuat perkaitan dengan isi pelajaran yang dipelajari. Hal ini secara tidak langsung akan membantu murid-murid tersebut membina pemahaman baharu yang belum lagi diketahui atau dikuasai oleh mereka. Lebih banyak contoh dan bahan sumber ditunjukkan kepada murid-murid, lebih banyak pengetahuan dapat dikuasai oleh seseorang murid itu.


Guru juga haruslah sentiasa memberikan penerangan yang jelas kepada murid-murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Penerangan yang jelas ini adalah sangat penting kepada murid-murid kerana tanpa penerangan yang jelas, murid berkemungkinan akan menyalahtafsir arahan atau kehendak guru. Hal ini secara tidak langsung akan mengakibatkan sesi pengajaran tidak berjalan dengan lancar. Maka, penerangan guru haruslah jelas, selaras dengan pemikiran dan laras bahasa murid. Guru juga adalah digalakkan sama sekali untuk menyertakan pelbagai contoh ketika sesi perbincangan bersama murid.


Teori Pembelajaran Kognitif Bruner

Bruner dilahirkan di New York pada 1 Oktober 1915. Beliau lebih dikenali sebagai J.Bruner. Beliau merupakan bapa kepada teori psikologi kognitif. Beliau juga merupakan seorang yang istimewa kerana telah dilahirkan buta dan tidak dapat melihat setelah dijangkiti katarak sewaktu beliau masih bayi.

Kajian Bruner menekankan perkembangan kognitif kanak-kanak. Ia menekankan cara-cara manusia berinteraksi dalam alam sekitar dan menggambarkan pengalaman secara dalaman. Menurut Bruner, perkembangan kognitif juga melalui peringkat-peringkat tertentu.

Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut:
  • Peringkat enaktif ( 0 – 2 tahun )
  • Peringkat ikonik ( 2 – 4 tahun )
  • Peringkat simbolik ( 5 – 7 tahun )
Bruner amat menekankan pembelajaran konsep atau kategori. Beliau mengutamakan pembelajaran secara induktif dengan menggunakan konsep atau kategori. Beliau juga mementingkan sistem pengekodan dalam huraiannya tentang pemikiran. Dengan adanya sistem pengekodan, kita dapat membuat  kesimpulan daripada rangsangan yang diterima.


Implikasi

Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu guru perlu menyediakan peluang untuk murid-murid meneroka, memegang, mencium dan merasa. Pengalaman seperti ini mewujudkan proses pembelajaran yang bermakna. Bagi murid-murid di Tahap Satu, gambar, carta dan objek perlu digunakan bagi memudahkan pembentukan konsep.

Hukum dan prinsip perlu ditekankan agar murid-murid berupaya mengaplikasikannya dalam proses penyelesaian masalah. Bruner juga menekankan pembelajaran yang terhasil daripada interaksi murid dengan guru, interaksi dengan murid-murid lain dan interaksi dengan bahn pengajaran. Maka kerja berkumpulan dan sesi perbincangan perlu diadakan dari masa ke semasa.

Penglibatan murid-murid penting agar mereka dapat menikmati pembelajaran bermakna. Pengetahuan juga perlu disusun dan diperingkatkan agar pembentukan konsep bermula daripada peringkat yang mudah kepada peringkat yang rumit. Ini bermakna guru perlu memeringkatkan isi pelajaran. Bruner juga menekankan motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik. Ini bermakna guru perlu memberi ganjaran dan pujian apabila sesuatu tingkahlaku yang diingini dilakukan. Kesediaan belajar juga ditekankan oleh Bruner. Dengan itu, guru perlu mengambil kira kesediaan belajar murid-murid ketika merancang proses pengajarannya. Sementara itu, nilai-nilai murni seperti bekerjasama, bertolak-ansur dan tolong-menolong akan dapat dipupuk dalam aktiviti pengumpulan maklumat projek dan perbincangan.

Seseorang murid belajar dengan cara menemui struktur konsep-konsep yang dipelajari. Oleh yang demikian, Bruner berpendapat kanak-kanak membentuk konsep dengan mengasingkan benda-benda mengikut ciri-ciri persamaan dan perbezaan. Selain itu, pengajaran adalah berdasarkan rangsangan murid tersebut terhadap pengetahuan sedia ada mereka. Beliau turut mengatakan bahawa pembelajaran Matematik akan menjadi lebih mudah dengan penggunaan simbol untuk mewakili konsep-konsep yang berbentuk abstrak.

Bruner mempercayai bahawa kanak-kanak yang baru masuk sekolah mempunyai dua jenis motivasi diri iaitu intrinsik ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan. Ia menjadi motivasi diri kepada kanak-kanak untuk lebih berminat terhadap benda di sekeliling mereka dan ia juga dapat menggerakkan mereka untuk mencuba secara rela hatidengan menyempurnakannya sendiri di samping saling bersaing sesama mereka.




Asal Usul Kota Jembal

Kerajaan Jembal diasaskan oleh Raja Besar. Raja Besar dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah Kedah abad 14. Raja Besar dan pengikut-pengikutnya mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Baginda mendirikan sebuah kota di tepi sungai Babong, di Pulau Melaka. Di situ terdapat satu pokok ‘jambu jembal’ yang besar. Lalu baginda menamakan tempat itu ‘JEMBAL’. Pada tahun 1638, Raja Besar menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya. Raja Sakti dikurniakan 7 orang anak iaitu Raja Adiluddin (Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor dan  Puteri Cempaka Bongsu. Pada tahun 1649 Raja Loyar ditabalkan sebagai raja memerintah Jembal manakala Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda, Raja Sungai sebagai Temenggong.
Raja Loyar sangat dikasihi oleh rakyatnya. Baginda dikatakan mempunyai sifat kesaktian dengan berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Di bawah Raja Loyar, kerajaan Jembal bertambah maju dan makmur apabila menjalinkan hubungan dengan kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan baik. Raja Loyar mempunyai 2 orang cahaya mata, iaitu seorang putera (meninggal) dan seorang
puteri bernama Puteri Mariam. Puteri Mariam lebih dikenali sebagi Puteri Saadong. Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat. Puteri Saadong dihadiahkan dua ekor anak kijang untuk dijadikan mainan. Hingga sekarang gambar 2 ekor kijang dijadikan lambang kebesaran Kerajaan Negeri Kelantan.
Puteri Saadong termasyhur dengan kecantikannya. Raja Prasat Thong dari Siam menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong. Namun pinangan itu ditolak dan lalu dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah. Raja Abdullah telah mendirikan sebuah kota yang dinamakan ‘Kota Jelasin’ (Kg. Kota sekarang). Cik Siti Wan Kembang, Raja Abdullah dan Puteri Saadong telah membuka penempatan baru di Kg. Chetok yang dikenali sebagi ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’. Di sini Cik Siti Wan Kembang gering, lalu dibawa ke Gunung Cinta Wangsa dan meninggal di sana. Setelah itu seluruh Kelantan diperintah oleh Raja Loyar.
Raja Siam marah di atas perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah. Baginda menghantar angkatan menyerang Kota Jelasin. Raja Abdullah berundur ke Melor dan membina ‘Kota Mahligai’ di sana. Angkatan Siam mara pula ke Melor. Kasih  sayangnya kepada nyawa rakyat, Puteri Saadong menyerah diri dan dibawa ke Ayudhiy. Ketika Puteri Saadong berada di Siam, ayahanda Raja Loyar telah mangkat. Jenazah baginda dimakamkan di Jembal iaitu bersebelahan SMK Raja Sakti sekarang. Adinda baginda Raja Omar ditabal menjadi raja dengan gelaran Sultan Omar.
Setelah kembali dari Siam, Puteri Saadong mendapati ayahandanya telah mangkat.Puteri Saadong terus ke Kota Mahligai. Sepeninggalan Puteri Saadong, Raja Abdullah telah berkahwin dengan anak pembesar negeri. Satu pertengkaran telah berlaku. Raja Abdullah mangkat setelah tertikam penyucuk sanggul Puteri Saadong. Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Padang Halban, dekat Melor.
Pada tahun 1671, Raja Abdul Rahim, adinda Raja Abdullah, dilantik memerintah di Kota Mahligai. Puteri Saadong berpindah ke Bukit Marak. Pemerintahan Raja Abdul Rahim sangat zalim menyebabkan ramai rakyat datang mengadu kepada Puteri Saadong dan pada tahun 1673, Puteri Saadong berpindah ke Gunung Ayam untuk mengasingkan diri.
Raja Omar dari Jembal menghantar anaknya Raja Kecil Sulong untuk menyelesaikan masalah di Kota Mahligai. Salah seorang pengikut Raja Kecil Sulong berjaya menikam Raja Abdul Rahim di tepi Tasik Lelayang Mandi. Baginda mangkat di situ.

Kegemilangan Kelantan Di Bawah Sultan Omar  amat maju. Baginda dapat menyatukan Kelantan di bawah satu pentadbiran serta membuat lawatan ke seluruh jajahan negeri. Baginda membuka satu kawasan tanaman padi yang luas di Padang Jembal, Bachok. Hubungan diplomatik dengan negara luar seperti Pattani, China dan Jawa serta negeri jiran seperti Terengganu amat baik. Baginda dikurniakan 5 orang putera puteri iaitu Raja Kecil Sulong, Raja Pah, Raja Sakti III, Raja Ngah dan Raja Nah. Pada tahun 1686, tiga orang anak Datu Pengkalan Tua, Raja Pattani datang mengadap Sultan Omar. Mereka ialah Tuan Sulong (Long Sulong), Tuan Senik (Long Senik), Tuan Besar (Long Bahar). Long Bahar dikahwinkan dengan anakanda baginda, Raja Pah manakala yang lain dikahwinkan dengan pembesar negeri.
Sultan Omar membina Kota Senang yang kemudiannya diserah kepada Raja Pah dan suaminya. Sultan Omar memerintah selama 46 tahun. Baginda mangkat pada tahun 1721. Jenazah baginda dimakamkan berhampiran Kota Seneng dan sekarang dikenali sebagai Kg Seneng. Belindan makam baginda dipercayai didatangkan dari Negeri Cina. Sultan Omar diganti oleh anakanda baginda Raja Kecil Sulong. Raja Kecil Sulong membina sebuah kota yang dinamakan ‘Kota Teras’. Kota ini diperbuat daripada teras kayu tembesu. Baginda memerintah 5 tahun sahaja. Mangkat pada tahun 1725 dalam usia yang muda.
Putera Raja Kecil Sulong yang bernama Raja Abdul Rahman masih kecil. Ini memberi peluang kepada Raja Pah mempengaruhi pembesar negeri supaya suaminya Tuan Besar / Long Bahar dilantik menjadi Sultan dan dengan itu tertolaklah hak Raja Abdul Rahman. Long Bahar telah berpindah dari Kota Seneng ke Kota Jembal. Apabila Long Bahar mangkat, anakanda baginda Long Sulaiman dilantik memerintah Kelantan sehingga dari keturunan Long Sulaiman inilah datangnya salasilah kesultanan Kelantan hari ini.
Nama Jembal kekal sehingga tahun 1922 sahaja. Kawasan itu telah berubah kepada nama Kedai Lalat dengan secara tidak dirancang. Pekan tersebut dikunjungi oleh ramai penjual dan pembeli dalam masa yang singkat sahaja (*seperti lalat). Disebabkan kerana itu pekan ini dinamakan Kedai Lalat.
fakta dari http://pkrjk.blogspot.com/2010/01/lokasi-kota-jembal.html