Thursday, 11 October 2012

Asal Usul Kota Jembal

Kerajaan Jembal diasaskan oleh Raja Besar. Raja Besar dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah Kedah abad 14. Raja Besar dan pengikut-pengikutnya mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Baginda mendirikan sebuah kota di tepi sungai Babong, di Pulau Melaka. Di situ terdapat satu pokok ‘jambu jembal’ yang besar. Lalu baginda menamakan tempat itu ‘JEMBAL’. Pada tahun 1638, Raja Besar menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya. Raja Sakti dikurniakan 7 orang anak iaitu Raja Adiluddin (Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor dan  Puteri Cempaka Bongsu. Pada tahun 1649 Raja Loyar ditabalkan sebagai raja memerintah Jembal manakala Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda, Raja Sungai sebagai Temenggong.
Raja Loyar sangat dikasihi oleh rakyatnya. Baginda dikatakan mempunyai sifat kesaktian dengan berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Di bawah Raja Loyar, kerajaan Jembal bertambah maju dan makmur apabila menjalinkan hubungan dengan kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan baik. Raja Loyar mempunyai 2 orang cahaya mata, iaitu seorang putera (meninggal) dan seorang
puteri bernama Puteri Mariam. Puteri Mariam lebih dikenali sebagi Puteri Saadong. Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat. Puteri Saadong dihadiahkan dua ekor anak kijang untuk dijadikan mainan. Hingga sekarang gambar 2 ekor kijang dijadikan lambang kebesaran Kerajaan Negeri Kelantan.
Puteri Saadong termasyhur dengan kecantikannya. Raja Prasat Thong dari Siam menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong. Namun pinangan itu ditolak dan lalu dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah. Raja Abdullah telah mendirikan sebuah kota yang dinamakan ‘Kota Jelasin’ (Kg. Kota sekarang). Cik Siti Wan Kembang, Raja Abdullah dan Puteri Saadong telah membuka penempatan baru di Kg. Chetok yang dikenali sebagi ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’. Di sini Cik Siti Wan Kembang gering, lalu dibawa ke Gunung Cinta Wangsa dan meninggal di sana. Setelah itu seluruh Kelantan diperintah oleh Raja Loyar.
Raja Siam marah di atas perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah. Baginda menghantar angkatan menyerang Kota Jelasin. Raja Abdullah berundur ke Melor dan membina ‘Kota Mahligai’ di sana. Angkatan Siam mara pula ke Melor. Kasih  sayangnya kepada nyawa rakyat, Puteri Saadong menyerah diri dan dibawa ke Ayudhiy. Ketika Puteri Saadong berada di Siam, ayahanda Raja Loyar telah mangkat. Jenazah baginda dimakamkan di Jembal iaitu bersebelahan SMK Raja Sakti sekarang. Adinda baginda Raja Omar ditabal menjadi raja dengan gelaran Sultan Omar.
Setelah kembali dari Siam, Puteri Saadong mendapati ayahandanya telah mangkat.Puteri Saadong terus ke Kota Mahligai. Sepeninggalan Puteri Saadong, Raja Abdullah telah berkahwin dengan anak pembesar negeri. Satu pertengkaran telah berlaku. Raja Abdullah mangkat setelah tertikam penyucuk sanggul Puteri Saadong. Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Padang Halban, dekat Melor.
Pada tahun 1671, Raja Abdul Rahim, adinda Raja Abdullah, dilantik memerintah di Kota Mahligai. Puteri Saadong berpindah ke Bukit Marak. Pemerintahan Raja Abdul Rahim sangat zalim menyebabkan ramai rakyat datang mengadu kepada Puteri Saadong dan pada tahun 1673, Puteri Saadong berpindah ke Gunung Ayam untuk mengasingkan diri.
Raja Omar dari Jembal menghantar anaknya Raja Kecil Sulong untuk menyelesaikan masalah di Kota Mahligai. Salah seorang pengikut Raja Kecil Sulong berjaya menikam Raja Abdul Rahim di tepi Tasik Lelayang Mandi. Baginda mangkat di situ.

Kegemilangan Kelantan Di Bawah Sultan Omar  amat maju. Baginda dapat menyatukan Kelantan di bawah satu pentadbiran serta membuat lawatan ke seluruh jajahan negeri. Baginda membuka satu kawasan tanaman padi yang luas di Padang Jembal, Bachok. Hubungan diplomatik dengan negara luar seperti Pattani, China dan Jawa serta negeri jiran seperti Terengganu amat baik. Baginda dikurniakan 5 orang putera puteri iaitu Raja Kecil Sulong, Raja Pah, Raja Sakti III, Raja Ngah dan Raja Nah. Pada tahun 1686, tiga orang anak Datu Pengkalan Tua, Raja Pattani datang mengadap Sultan Omar. Mereka ialah Tuan Sulong (Long Sulong), Tuan Senik (Long Senik), Tuan Besar (Long Bahar). Long Bahar dikahwinkan dengan anakanda baginda, Raja Pah manakala yang lain dikahwinkan dengan pembesar negeri.
Sultan Omar membina Kota Senang yang kemudiannya diserah kepada Raja Pah dan suaminya. Sultan Omar memerintah selama 46 tahun. Baginda mangkat pada tahun 1721. Jenazah baginda dimakamkan berhampiran Kota Seneng dan sekarang dikenali sebagai Kg Seneng. Belindan makam baginda dipercayai didatangkan dari Negeri Cina. Sultan Omar diganti oleh anakanda baginda Raja Kecil Sulong. Raja Kecil Sulong membina sebuah kota yang dinamakan ‘Kota Teras’. Kota ini diperbuat daripada teras kayu tembesu. Baginda memerintah 5 tahun sahaja. Mangkat pada tahun 1725 dalam usia yang muda.
Putera Raja Kecil Sulong yang bernama Raja Abdul Rahman masih kecil. Ini memberi peluang kepada Raja Pah mempengaruhi pembesar negeri supaya suaminya Tuan Besar / Long Bahar dilantik menjadi Sultan dan dengan itu tertolaklah hak Raja Abdul Rahman. Long Bahar telah berpindah dari Kota Seneng ke Kota Jembal. Apabila Long Bahar mangkat, anakanda baginda Long Sulaiman dilantik memerintah Kelantan sehingga dari keturunan Long Sulaiman inilah datangnya salasilah kesultanan Kelantan hari ini.
Nama Jembal kekal sehingga tahun 1922 sahaja. Kawasan itu telah berubah kepada nama Kedai Lalat dengan secara tidak dirancang. Pekan tersebut dikunjungi oleh ramai penjual dan pembeli dalam masa yang singkat sahaja (*seperti lalat). Disebabkan kerana itu pekan ini dinamakan Kedai Lalat.
fakta dari http://pkrjk.blogspot.com/2010/01/lokasi-kota-jembal.html

No comments:

Post a Comment